widgeo.net

Monday, March 14, 2011

Situasi 40 : Bahasa Pijin

Situasi : Bahasa pijin merupakan nama yang telah diberikan kepada bahasa yang bertindak sebagai bahasa perhubungan yang digunakan oleh penutur pelbagai bangsa yang bertemu dan berhubung antara satu sama lain. Bahasa yang digunakan tidak semestinya salah satu bahasa asal kedua-dua pihak penutur tersebut. Bahasa pijin terbit daripada satu bahasa yang secara drastik dipermudahkan struktur dan kosa katanya. Bahasa ini tidak digunakan oleh komuniti bahasa sebagai bahasa asal, sebaliknya dipelajari kemudian sebagai contoh bahas pijin ini digunakan oleh para pedagang untuk bertukar-tukar barang atau ketika proses jual beli berlaku. Di Malaysia, kita boleh perhatikan bahasa pijin digunakan oleh para peniaga yang terdiri daripada pelbagai kaum yang telah berhubung dengan pelanggan mereka ketika berlakunya proses jual beli. 

Contoh Bahasa Pijin : - Lu mau angkat apa maa??
                               - Kasi sama dia buah itu
                               - Mau apa?
~Pasar~
~Pasar~

Komen : Bahasa pijin digunakan oleh masyarakat Cina dan India khususnya bagi memberi pemahaman kepada masyarakat Melayu yang diajak bercakap dengannya. Maka timbullah percampuran bahasanya dengan bahasa Melayu lalu lahirlah bahasa pijin. Bahasa pijin juga boleh dikenali sebagai bahasa pasar. Bahasa pasar juga dikenali sebagai bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu. Pelat penyebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur.Biasanya bahasa pasar tidak gramatis dengan mengabaikan hukum DM dan penggunaan penjodoh bilangan. Contohnya pengunaan "Gua" menggantikan "saya" (ganti diri orang pertama) dan `lu' (ganti diri nama kedua). Bahasa pasar biasanya menggunakan banyak kata penguat, contohnya, banyak cantik. Selain itu penutur bahasa pasar juga kerap menggunakan perkataan "punya". Contoh ayat dia punya barang, apa punya budak.Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap.

Situasi 39 : Kecelaruan bahasa

Situasi : Notis yang ditampal jelas menunjukkan wujudnya kesalahan ayat iaitu "mohon siapa yang meninggal dunia". 

Ayat tersebut boleh menimbulkan salah faham kepada orang yang membacanya. Ayat tersebut boleh diandaikan melalui dialog di bawah :
Orang Mati : "Hello encik"
Pegawai     : "Hello... siapa ni?"
Orang Mati : "Saya Roslan Encik. Saya nampak notis yang encik tampal menyuruh saya  
                   menghubungi encik. Ada apa hal tu encik?"
Pegawai     :  O.. sebelum tu saya nak maklumat encik, seperti alamat dan no telefon?
Orang Mati  : Saya ada kat Perkuburan Islam Kampung Baru, lot no 13 sebelah kubur pak 
                   imam. Saya baru meninggal semalam. Pasal no telefon saya mintak maaf  
                  encik,sebab mereka tak bekalkan saya dengan telefon nokia saya.Saya lupa nombor telefon saya.
Pegawai     : ...Rasanya apa jawapan Pegawai tersebut.....

Komen : Agak mengecewakan apabila membaca notis ini kerana dapat kita gambarkan bahawa masih lagi wujud pihak yang tidak mampu membezakan ayat yang salah dengan ayat yang betul. Mereka lebih suka memandang bahasa itu sebagai satu kesalahan yang remeh. Oleh sebab itulah dengan sewenang-wenangnya mereka melakukan kesalahan yang agak menimbulkan rasa geli hati apabila membacanya.

Situasi 38 : Kurang adab

Situasi : Kisah kurang adab yang ingin saya ceritakan disini adalah mengenai seorang pelajar yang menggunakan bahasa yang agak kurang sopan ketika melontarkan soalan kepada Naib Canselor Universiti. Ketika pelajar tersebut meminta NC yang berpangkat datuk tersebut menjawab persoalan yang telah dilontarkan dia telah menggunakan kata panggilan "anda". Ini telah menggambarkan pelajar tersebut seorang yang kurang adab ketika berbicara. Panggilan yang sepatutnya digunakan adalah lebih baik dan mengambarkan tanda hormat pelajar tersebut kepada golongan atasan. 

Komen : Sebagai seorang yang berpendidikan tinggi kita perlulah sentiasa menggunakan bahasa yang lebih beradab dan sopan ketika mengutarakan pendapat, bertutur dengan orang yang lebih tua dan sebagainya. Janganlah kita sendiri yang menghakis nilai jati diri yang diterap ke dalam diri kita sejak kecil lagi. 

Situasi 37 : Vandalisme

Situasi: Pada masa kini gejala vandalisme kian meningkat dan berleluasa. Kebanyakkan gejala vandalisme ini dilakukan oleh golongan remaja. Vandalisme ialah perbuatan merosakkan atau memusnahkan kemudahan awam atau harta persendirian tanpa sebab yang sah di sisi undang-undang. Vandalisme mengakibatkan pihak awam dan swasta mengalami kerugian kerana terpaksa mengeluarkan kos untuk membaiki dan menggantikan barang-barang yang rosak.Gejala vandalisme boleh dilakukan secara sendirian atau berkumpulan.

Komen : Pada pendapat saya kebanyakkan golongan remaja yang terlibat dengan gejala vandalisme adalah disebabkan oleh ingin mendapatkan keseronokan, timbul rasa megah apabila dapat melakukan vandalisme, mereka rasa mendapat perlindungan daripada ahli kumpulannya, berpeluang untuk mencari wang dan sumber pendapatan dan mereka akan rasa diterima oleh ahli kumpulan. Bagi mengelakkan gejala vandalisme ini daripada berterusan maka semua pihak perlulah bekerjasama untuk menanganinya.

Situasi 36 : Pengaruh Filem


Situasi : Antara filem Malaysia yang telah banyak mempengaruhi minda dan perlakuan masyarakat Malaysia ialah filem yang bertajuk Hantu Kak Limah Balik Rumah. Bukan sahaja para muda-mudi yang telah dipengaruhi dengan kata-kata dan skrip dalam filem Hantu Kak Limah tersebut malah dari segenap lapisan masyarakat pun sudah dipengaruhi oleh filem tersebut. Antara dialog yang sering menjadi ikutan adalah "Kite bakor je rumah Kak Limah. Kite bakor!" dan juga ayat cer citer cer citer.

Komen :  Pada pendapat saya, sememangnya cerita ini sebuah cerita yang kelakar dan banyak mesej tersirat yang hendak disampaikan oleh pengarah antara mesej yang paling nyata ialah kurangnya sikap prihatin dalam masyarakat sekarang terhadap keadaan saudara mara atau jiran-jiran terdekat dengan kita. Namun, akibat daripada skrip yang digunakan para pelajar mudah terpengarauh dan sentiasa terikut-ikut dengan gaya pertuturan mereka dan akhirnya membawa kepada kesalahan dalam penulisan. Sebutaan untuk perkataan "bakar" telah disebut "bakor", perkataan "cer" pula diringkaskan dan ia sebenarnya berasal daripada perkataan "cuba" manakala perkataan cerita telah dieja "citer" perkara ini jelas akan mempengaruhi kanak-kanak terutamanya. Anak-anak hari ini adalah generasi pewaris masa depan negara kita. Justeru kelestarian pembangunan modal insan daripada sebuah filem itu perlu dititikberatkan agar kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga kaya dari segi akhlak dan budi bahasanya.

 

Sunday, March 13, 2011

Situasi 35 : Hikayat Merong Mahawangsa

Situasi : Rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat Melayu juga mampu menghasilkan sesuatu yang boleh dikagumi oleh orang luar. Keyakinan diri amat penting bagi menghasilkan sesuatu yang terbaik.

Sinopsis
Filem yang berkisarkan pengembaraan Merong Mahawangsa (berketurunan Alexander The Great) yang menjadi pengawal kepada Putera Empayar Rom yang ingin ke Asia Tenggara bagi mengahwini Puteri Dinasti Han. Perkahwinan diantara Putera Rom dan Puteri dari negara China ini adalah mahu menyatukan kedua-dua empayar dan perkahwinan mereka dilakukan di tanah yang tidak dijajah oleh mana–mana empayar (Natural Grounds) yang terletak diantara empayar barat dan timur.

Walaubagaimanapun, Armada Merong Mahawangsa telah diserang oleh Lanun dari negara Garuda (ia sebenarnya burung Garuda dalam Hikayat Merong Mahawangsa) dan Puteri tersebut telah diculik oleh lanun–lanun tersebut. Setelah berlaku serangan tersebut, bermulalah epik dimana Merong Mahawangsa cuba menyelamatkan puteri tersebut dan menyatukan empayar dari barat dan timur itu.

Komen : Hikayat Merong Mahawangsa merupakan sebuah cerita mitos dan lagenda yang melibatkan kerajaan lama Kedah. Hikayat Merong Mahawangsa dibawah arahan Yusry Abdul Halim yang telah membawa pelbagai kelainan dan pencetus penggunaan teknologi CGI di Malaysia dalam setiap filem arahannya. Filem ini turut menggunakan barisan kumpulan seni mempertahankan diri yang berpengalaman dibawah bimbingan Chan Man Cheng. Beliau pernah terlibat didalam kapasiti yang sama bagi filem – filem blockbuster antarabangsa antaranya Hellboy 2, Rush Hour dan Police Story.
Filem ini menelan belanja RM8juta yang sekaligus menobatkannya sebagai filem termahal dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini dan kedua termahal dalam sejarah industri perfileman tempatan selepas filem Puteri Gunung Ledang. Namun ini tidak bermakna ianya kurang dari segi kualiti berbanding dengan Puteri Gunung Ledang kerana KRU Studios percaya bahawa penjimatan kos dapat dibuat melalui penggunaan teknologi CGI. Dengan adanya CGI, penyediaan set tidak perlu menelan belanja yang sangat besar. Hanya prop dan set utama dibina seperti empat (4) buah kapal, perkampungan Melayu pada kurun ke-2, pelabuhan kapal, set gambaran Istana di Rom, China dan juga pelabuhan Goa di India. Walaubagaimanapun, kejayaan pemibikinan filem ini mungkin tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) melalui dana “e-content”.
.

Situasi 34 : Pelajar Alaf Baru

Situasi : Masalah salah laku pelajar kini kian meningkat. Boleh dikatakan setiap hari terpampang di dada-dada akhbar mengenai masalah yang melanda para pelajar di negara kita.Kes terbaru pelajar tikam pelajar, bom sekolah, simbah asid pada guru dan sebagainya. Ke mana hilangnya nilai moral dalam diri anak-anak sekarang?


Komen : Tanggungjawab guru sangat besar dan berat demi memperjuangkan nasib anak-anak bangsa. Pada zaman dahulu, guru diibatkan sebagai ayah dan ibu sewaktu di sekolah namun keadaannya sudah jauh berbeza pada masa kini. Jika guru hanya meninggikan sedikit suara pasti akan disaman, dipukul, diserang oleh pihak lain yang tidak boleh melihat anak disentuh sedikit demi kebaikan masa depannya. Pemikiran masyarakat zaman sekarang amat sukar untuk difahami. Andai anak-anak bermasalah, para ibu bapa pasti menyalahkan guru sedangkan tugas mendidik bukannya terletak 100 peratus di atas bahu guru. Pendidikan sebenarnya bermula dari rumah, andai ibu bapa tersalah mendidik anak maka nilai moral  yang baik pasti tidak akan dapat dipupuk dalam diri remaja tersebut dan akhirnya timbullah masalah-masalah seperti memukul guru, bergaduh dengan guru dan sebagainya.

Situasi 33 : Keindahan Alam vs Pencemaran Bahasa

Situasi : Taman Botanikal Melaka merupakan sebuah Taman yang sangat menarik dan indah namun berapa banyak orang yang melalui trek di kawasan taman tersebut menyedari wujudnya penyalahgunaan bahasa dari segi ejaan yang terdapat pada papan tanda yang dipacakkan di laluan pejalan kaki? Papan tanda yang bertulis "LALUAN PEJALAN KAKI DAN JOGGING" yang sepatutnya ditulis "LALUAN PEJALAN KAKI DAN JOGING".

Komen : Walaupun itu hanyalah papan tanda namun ia sangat memberi kesan kepada orang yang melihatnya. Pra pelajar misalnya akan mudah terpengaruh dan merasakan "jogging" tersebut merupakan satu ejaan yang betul. Jadi bagi memelihara bahasa Melayu agar kekal indah, pihak yang bertanggungjwab perlulah segera memperbetulkan kesalahan tersebut. Memelihara bahasa ibunda meruapakan tanggungjawab kita bersama.

Situasi 32 : Bahasa Slanga

Situasi : Pengunaan bahasa slanga yang meluas dikalangan remaja menyebabkan wujudnya bahasa slanga yang bukan sahaja digunakan dalam percakapan tetapi juga dalam penulisan. Penulisan-penulisan yang digunakan dalam sesebuah buku terutama dalam bacaan ringan seperti komik telah terpengaruh dengan bahasa slanga. Penggunaan bahasa slanga dalam penulisan sesebuah buku atau karya dan diterbitkan boleh menjejaskan kedaulatan bahasa. Penggunaan bahasa slanga dalam sesebuah buku juga menyebabkan ramai remaja dan kanak-kanak akan terpengaruh dan menggunakan bahasa ini dalam kehidupan seharian. Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan bukan saja dikalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga tidak begitu setuju dengan kenbanjiran komik berbahasa slanga di pasaran. 

Komen : Pada pendapat saya terdapat banyak kesan yang bakal timbul akibat daripada penggunaan bahasa slanga yang semakin meluas ini. Melalui bahasa slanga ini telah banyaklah timbul istilah baru yang muncul bagi memudah ekspresi. Contoh istilah-istilah baru yang muncul kesan daripada penggunaan bahasa slanga ialah caye(percaya), camni(macam ini) dan teypon(telefon).  Apabila bahasa slanga terlalu kerap digunakan maka lama kelamaan istilah ini menjadi budaya dalam percakapan. Hal ini menyebabkan generasi-genarasi muda yang akan datang akan terpengaruh dengan budaya bahasa slanga yanga digunakan pada masa kini. Jika direnungkan sejenak apakah kesan jaka panjang jika bahasa slanga masih terus digunakan oleh generasi kini, maka dapat disimpulkan bahawa generasi akan datang akan mewarisi bahasa melayu yang telah menggunakan istilah-istilah baru. Jadi kita sebagai masyarakat penutur bahasa Melayu perlulah mengambil berat mengenai masalah ini. Kita perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul bagi mengekalkan nilai-nilai bahasa ibunda tersebut agar tidak terus terpinggir. Semuanya hanya ditangan kita sebagai masyarakat Melayu!


Situasi 31 : Orang Arab "kecek" Kelantan

 Situasi : Jika kita lihat pada masa kini masyarakat dari negara lain pun sudah mula mengagumi bahasa ibunda kita. Tetapi kita sebagai rakyat Malaysia pula makin tidak menghargai dan jelas makin hilang jati diri sebagai masyarakat penutur bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana kita lebih mengagumi bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan sebagainya.

Komen : Sebagai penutur asli bahasa Melayu kita tidak perlu malu apabila bercakap dalam bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan orang luar yang berkunjung ke negara bertuah ini.Sebagai masyarakat Melayu juga kita tidak perlulah berasa segan silu menggunakannya apabila berurusan dalam perkara-perkara formal yang selalunya menggunakan Bahasa Inggeris. Ia bagi mengelakkan bahasa Melayu terus terpinggir dan ketinggalan dalam arus kemodenan.Jika semua rakyat menghargai dan cintakan bahasa Melayu, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan bahasa itu malah menyerlahkan jati diri penutur asal untuk mengukuhkan penguasaan bahasa dan identiti bangsa. Secara tidak langsung, tindakan berani itu mampu mengangkat martabat bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa pengantara tetapi sebagai bahasa ilmu. Hakikatnya, banyak lagi usaha yang boleh dan perlu dilakukan untuk menjadikan bahasa kelima terbesar di dunia ini terus dihormati sekali gus memastikan ia memberi sumbangan kepada kemajuan tamadun manusia.

Situasi 30 : Kartun Islamik

Situasi : 
-Melalui lukisan gambar kartun seperti ini juga kita dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada generasi muda. Kebiasaannya mereka lebih berminat untuk melihat gambar-gambar seperti ini berbanding membaca sesuatu bahan yang agak berat. 

-Penggunaan bahasa pasar dalam perbualan.

Komen :

-Para remaja pada masa kini perlulah didedahkan dengan bahan seperti ini agar ilmu mengenai perkara yang halal dan haram dapat diperbetulkan dengan sebaik mungkin.

-Tetapi walaupun ia disampaikan melalui lukisan seperti ini, amalan menggunakan ejaan bahasa baku yang betul perlulah dititikberatkan. Bagi mengelakkan para remaja terikut-ikut dengan kesalahan bahasa yang dilakukan, contohnya perkataan "camtu", "tau", "kat" yang dikenali sebagai bahasa pasar. Jadilah marilah kita sama-sama membetulkan kesalahan tersebut. Bahasa melayu merupakan tanggungjawab bagi kita sebagai penuturnya.

Situasi 29 : Kanak-kanak ohh Pelajar

Situasi : Karangan di atas merupakan salah satu contoh karangan yang dihasilkan oleh para pelajar yang tidak memberi perhatian ketika cikgu mengajar. Sangat besar cabaran sebagai seorang guru bagi mendidik pelajar sehingga dapat menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

Komen : Sebagai bakal guru kita mestilah mempersiapkan diri untuk berhadapan para pelajar sebegini. Tanggungjawab seorang guru sangat besar demi mendidik anak-anak bangsa yang cemerlang.

Situasi 28 : Bahasa Comel vs Bahasa Remp-it

Situasi :

Pencemaran bahasa akan berlaku jika pengguna tidak dapat membezakan ragam bahasa rasmi dengan ragam bahasa basahan. Oleh itu, seseorang itu tidak sepatutnya terikut-ikut dengan ragam bahasa basahan hingga menggunakannya ketika melakukan urusan rasmi seperti karangan, surat rasmi dan memo. Penggunaan bahasa ringkas itu tidak salah, tetapi bahasa akan jadi rosak jika terbawa-bawa dalam penggunaan bahasa rasmi. Ini berlaku jika pengguna tidak dapat membezakan ragam bahasa rasmi dan tidak rasmi.  Apabila menulis surat elektronik (e-mel), blog, laman web yang lebih luas ruangannya, mengapa tidak kembali menggunakan bahasa yang sepatutnya, bahasa yang berkesan, bahasa yang bertatasusila dan bahasa yang indah? Mengapa masih lagi gemarkan penggunaan perkataan yang singkat, pendek sekaligus pada masa yang sama sebenarnya telah membunuh keindahan Bahasa Melayu? 
Komen : Pada pendapat saya kepada siapa lagi perlu kita harapkan untuk memperjuangkan Bahasa Melayu kalau bukan warganegara kita sendiri? Perlukah kita mengharapkan Obama atau orang-orang negara Barat untuk memperkasakan bahasa Melayu, anda rasa mereka akan perjuangkannya tanpa apa-apa sebab? Jika kita sayangkan negara, jika kita seorang pejuang bangsa biarlah kital sendiri mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu. Kita yang akan perjuangkannya. Kita yang akan kukuhkannya. Kita yang akan perkasakannya ke persada dunia, ke peringkat antarabangsa. Sekecil-kecil cara yang mampu kita buat adalah: tulislah dalam bahasa Melayu di blog masing-masing. Gunalah Bahasa Melayu yang betul dan indah. Itupun sudah cukup besar kesannya.:
:

Situasi 27 : Bahasa Chatline

Situasi : Pada masa kini bahasa 'chatline' begitu meluas digunakan terutamanya dalam kalangan remaja. Bahasa Chatline jika terus digunakan bimbang akan merosakkan bahasa. Hal ini kerana remaja adalah generasi pelapis yang akan terus memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu di persada. Sekarang pun begitu banyak berlakunya penyalahgunaan bahasa. 


Komen : Bahasa 'chatline' nampaknya sudah sebati dengan pengguna alam siber ini terutama golongan remaja untuk berhubung . Memang ia mudah, ringkas dan menjimatkan ruang serta boleh difahami. Namun dibimbangi ia akan menjadi satu cabaran yang besar kepada perkembangan bahasa Melayu pada masa akan datang. Sekarang pun ada segelintir pelajar yang menyalahgunakannya dalam penulisan karangan. Bagi mereka yang ringkas itu lebih menyenangkan. Jadi semua pihak perlulah bertanggungjawab memelihara bahas ibunda kita sendiri.

Situasi 26 : Bahasa Blog

Situasi : Saya sering singgah bertamu di halaman blog ramai anak muda yang hebat-hebat ilmu mereka. Ada kalanya, saya suka mengambil manfaat daripada blog mereka kerana pelajar-pelajar di menara gading ini telah banyak mengenengahkan topik-topik yang hanya diperolehi oleh mereka yang duduk di dalam dunia kampus. Ia berguna untuk diri saya, juga dakwah yang saya laksanakan. Isinya hebat, malah rujukan-rujukannya juga mantap.Tapi sayang seribu sekali sayang, ia ditulis dengan bahasa yang tidak mengambarkan mereka sebagai orang yang berpendidikan tinggi. Lihat sahaja kepada ejaannya tidak tentu hala, malah pemilihan perkataannya juga buruk lagi merugikan.
Contoh :
“Benda nie kalo korang nak tahu, ulamak kiter dah bahas panjang giler kat dlm bk jar wa ta’dil. Korang tak kesian ke tgk ulamak susah2 buat kajian, pehtu korang main ckp ikut suka jer bab2 muawiyah dgn ali ni. Cb korang baca btl2 dlm bk al-awasim minal qawasim yg ibn al-arabi tulih 2. kire sume benda ader dah disebut kat c2…”
Komen : Ini adalah contoh petikan yang tidak dipetik dari mana-mana blog, tetapi saya tuliskan sendiri dalam format bahasa yang sering saya temui di blog anak-anak muda yang berilmu tetapi tidak berbahasa itu. Ungkapan bahasa yang rendah seperti ini tidak melayakkan tulisan tersebut menjadi buku, biar pun potensi isi kandungannya sangat baik. Ia suatu pembaziran. Malah saya kira, mereka ini membaca tulisan para ilmuan Islam sekadar mengambil ilmu, tetapi tidak terkesan dengan bahasanya. Jadi sebagai orang yang berilmu pengetahuan mereka perlulah sedar bahawa betapa pentingnya pandai berbahasa agar kita sentiasa dihormati orang lain.

Situasi 25 : Sindrom Bahasa SMS

Situasi :  Pada masa kini, penggunaan bahasa SMS begitu meluas dalam kalangan masyarakat Melayu. Terdapat beberapa contoh bahasa SMS antaranya ialah :

-berlari-lari = brlri2
-berjalan-jalan = brjln2
-beramai-ramai = brmai2
-makan = mkn
-pintu = pntu
-sekolah = skolah, sklah
-berjalan = brjln
-ketawa = ktwa
-payung = pyung
-kasut = ksut
-kabinet = kbnet
-hujan = hjan, hujn
-permaidani = prmdani, prmdni
-kereta = kreta, (keta, gugur huruf konsonan)
-lampu = lmpu
-kipas = kpas
-kerusi = krusi
-baju = bju
-bangunan = bgnn
-dalam = dlm

Komen : Pada pendapat saya sebagai penutur bahasa Kebangsaan di Malaysia, kita tidak digalakkan menggunakan bahasa SMS kita kerana ia menghilangkan jati diri negara bangsa. Lama kelamaan ia boleh merosakkan bahasa ibunda kita sendiri. Jadilah marilah kita sama-sama membawa perubahan.Marilah kita sama-sama menggunakan ejaan yang betul kita menggunakan SMS. Saya juga pasti akan ada penyelesaian kreatif dalam penciptaan perkataan dalam bahasa Melayu yang sesuai untuk digunakan dalam SMS.
 

Situasi 24 : Sindrom bahasa rojak

-Pelbagai Bahasa-

Situasi : Pada masa kini sindrom penggunaan bahasa rojak begitu ketara dalam kalangan generasi muda terutamanya. Bahasa rojak bererti bahasa yang bercampur aduk dengan lebih dari daripada satu bahasa,bahasa yang melanggar peraturan nahu, struktur ayat serta diluar jangkaan bahasa yang baik (unpredictable) dan ia juga digunakan dalam perbualan dan tulisan untuk komunikasi yang tidak rasmi.

Contoh bahasa rojak :
-I kan nak go sanalah. (Saya hendak pergi ke sanalah)
-Pu3 2 kn x senonoh, suka kcu ppl. (Puteri itu tidak senonoh, suka kacau orang)
-2nang dier ni bks bfrn bdk 2. (Tunang dia ini bekas kawan lelaki budak itu)

 Komen : Apakah bahasa rojak ini baik? Pada pendapat saya jawapannya TIDAK kerana ia boleh memupuk satu tabiat yang akan berpanjangan.Bahasa rojak akan merosakkan bahasa ibunda.Bahasa rojak dalam bahasa SMS ini jika dibiarkan maka ia boleh merosakkan kemampuan berbahasa oleh pengamalnya. Jika ia terbawa-bawa dengan gaya bahasa rojak, ia akan menggunakannya dalam bahasa lisan dan ini akan membawa kepada masalah komunikasi.

Situasi 23 : Mahalnya perkataan tolong dan terima kasih


Situasi : Saya sering kali bertemu dengan manusia yang tidak pandai menggunakan perkataan  “tolong” ketika ingin menyuruh orang lain membantunya. Saya sering mendengar ayat perintah contohnya “aku nak kau buat ni!”, sebenarnya kita ingin meminta tolong daripada orang lain tapi ayat yang digunakan seakan-akan memberi arahan kepada orang lain. Selain itu, saya juga sering kali berjumpa dengan manusia yang tidak suka mengucapkan terima kasih apabila dia dibantu oleh orang lain.
 TOLONG!
Komen : Kita sebagai orang Islam, orang Melayu dan juga bakal seorang guru perlulah sentiasa mengamalkan sikap berbudi bahasa dengan orang lain. Sikap berbudi bahasa seperti tidak lokek untuk mengucapkan perkataan tolong ketika hendak meminta tolong. Kita perlulah bersikap lebih beradab agar diri kita akan lebih disenangi oleh orang lain. Selain itu, perkataan terima kasih juga perlulah sentiasa diterapkan dalam diri kita supaya orang lain akan berasa lebih dihargai ketika melakukan sesuatu untuk kita kerana kedua-dua perkataan tersebut akan memberi kesan yang mendalam kepada orang lain. Perkataan terima kasih itu sebagai tanda penghargaan kepada yang telah membantu. Kadang-kadang yang membantu tidaklah mengharapkan sangat perkataan tersebut, tetapi, bukankah itu dinamakan adab?
Orang berbudi, kita mesti berbahasa..kan?

Saturday, March 12, 2011

Situasi 22 : Cheleng Vs Khinzir

Situasi : Pada suatu hari, ketika sedang asyik bersembang dengan para sahabat mengenai bentuk tabung yang digunakan untuk menyimpan duit, saya telah menyebut perkataan "cheleng" di mana jika di Terengganu cheleng membawa maksud tabung untuk menyimpan duit. Tiba-tiba salah seorang sahabat saya yang berketurunan Jawa terkejut kerana dia telah menyatakan bahawa cheleng dalam bahasa Jawa bermaksud "khinzir". Saya meminta maaf dan tidak bermaksud untuk mencarut kerana perkataan cheleng memang membawa maksud tabung di Terengganu.


Komen : Pengalaman ini telah membuatkan saya lebih berhati-hati ketika bertutur dengan menggunakan dialek kerana bimbang akan membawa maksud yang tidak baik. Dialek juga sebenarnya boleh menimbulkan salah faham. Jadi kita mestilah berhati-hati kita menuturkan dialek negeri kita agar tidak timbul salah faham.

Situasi 21 : Facebook

Situasi : Rakyat Malaysia kian ketagih dengan laman sosial Facebook. Facebook telah banyak membawa keburukan contohnya masalah kelekaan, masalah perceraian, pergaduhan dan sebagainya.

Komen : Facebook sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Pada pendapat saya, diri kita sendiri perlulah sentiasa berwaspada ketika menggunakan laman sosial tersebut. Janganlah disebabkan berita-berita di Facebook tersebut hidup kita akan menjadi huru hara. Kita mestilah menggunakan laman sosial tersebut untuk tujuan kebaikan sahaja, contohnya bagi mencari sahabat lama, mendapatkan informasi yang penting dan sebagainya. Selain itu, kita juga perlulah mengawal waktu kita bermain Facebook tersebut. Janganlah disebabkan Facebook kita menjadi lalai dalam mengerjakan ibadah, belajar dan sebagainya.

Situasi 20 : Kemalangan

Situasi : Kemlangan yang melibatkan bas sering kali kita lihat muncul di dada-dada akhbar tempatan. Boleh dikatakan setiap hari akan berlaku kemalangan yang tragis melibatkan bas tersebut. Kemalangan tersebut bukan sahaja telah membawa maut kepada pemandu bas tersebut malah penumpang turut menjadi mangsa korban. Berita mengenai kemalangan ngeri yang melibatkan bas ini telah menyebabkan saya sebagai pengguna bas berasa takut untuk pulang ke kampung dengan menaiki bas. Kebiasaannya saya melihat sikap pemandu itu sendiri yang telah menjadi punca utama kemalangan yang melibatkan bas. Kebanyakkan bas yang saya naiki biasanya dibawa dengan kadar yang sangat laju tanpa memikirkan nyawa penumpang. Kejadian kemalangan jalan raya telah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pengguna jalan raya khasnya, memandangkan angka maut yang tinggi.






Komen : Pada pendapat saya, terdapat pelbagai faktor yang telah menyebabkan berlakunya kemalangan tersebut. Pertamanya adalah disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri yang sentiasa mementingkan diri tanpa memikirkan keselamatan orang lain. Selain itu, keadaan jalan raya juga telah menjadi penyumbang kepada nahas jalan raya. Keadaan jalan raya yang rosak telah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. Jadi bagi mengatasi masalah ini, semua pihak mestilah saling bekerjasama.

Situasi 19 : Pepatah??

Situasi : 
"CARIK-CARIK BULU AYAM, LAMA-LAMA JADI BULU TANGKIS BADMINTON, PASTI AYAM KEBOGELAN"
Pepatah di atas telah diubah sesuka hati oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Pepatah yang betul ialah " Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua" yang membawa maksud pergaduhan yang berlaku antara adik-beradik kebiasaannya tidak lama dan akhirnya mereka pasti akan berbaik kembali.  
Komen : Kebanyakkan pantun dan juga pepatah yang telah saya temui telah dirosakkan atau diubah oleh segelintir orang yang tidak sensitif terhadap bahasa ibunda mereka sendiri. Mereka lebih suka menjadikan sesuatu perkara yang serius itu sebagai satu perkara yang lawak dan bersifat jenaka agar mendapat perhatian orang lain. Sikap seperti ini tidak sepatutnya dilakukan oleh rakyat Malaysia. Kita sepatutnya lebih menghargai bahasa kita sepeti mana kita melihat orang Korea, Jepun dan Inggeris yang sangat menghargai dan menyanjungi bahasa Ibunda mereka sendiri. Tetapi kita? ke mana hilangnya nilai jati diri kita sebagai rakyat Malaysia yang dianggap sebagai rakyat yang berhemah tinggi. Jadi marilah kita sama berubah ke arah yang lebih baik. Juahi diri kita daripada merosakkan bahasa sendiri.

Situasi 18 : Merosakkan keindahan pantun Melayu

Situasi : Contoh pantun yang telah diubah menjadi sebuah pantun yang berbentuk jenaka.
Pisang emas dibawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Kat pasaraya tak ada hutang hutang
Kalau nak, bayar Cash On Delivery

Kalau ada jarum yang patah
Jangan di simpan di dalam peti
Kesian betul dengan kau ni
Jarum patah pun kau simpan dalam peti.

Dua tiga kucing berlari
Mana nak sama si kucing belang
Kalau kau berani kejarlah kucing tu
Mesti kau kena cakar sampai berbelang-belang gak.

Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang hamba mengkuang layu
Kain Pak Malau, Mak Limah yang lipat
Kain aku, si pencuri yang sapu

Rumah Pak Mamat di tepi sawah
Pakai langsir berwarna biru
Ooi Pak Mat, langsir warna biru tak lawa lah
Pakailah warna kuning ke, hijau ke, kelabu asap ke.

Air pasang dalam surut pukul lima
Nyonya bangun pagi siram pokok bunga
Haloo nyonya, mau tanya sikit
Siram pokok bunga aje, tak jual sayur ka?

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Kalau padi tu belumlah masak
Janganlah tuai, taklah layu-layuan. .

Limau purut masak di dahan
Batang selasih condong uratnya
Limau purut tak boleh makan
Nanti sakit perut nak kena cari ubat.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Buat apa nak ke Pulau Pandan yang jauh tu
Pergi aje ke Kampung Pandan

Sorong papan tarik padan
Buah keranji dalam perahu
Tolonglah jangan makan buah keranji tu
Nanti badan kau orang berbau

Hayya Cik Siti, perempuan banyak muda
Ana banyak takut jalan tutup mata
Memanglah takut kalau jalan tutup mata
Sebab takut terpijak lubang Indah Water

Encik Baba jatuh dalam parit
Cik Aminah ketawa jerit jerit
Sampai hati Cik Aminah ketawakan saya jerit-jerit
Mentang-mentanglah saya jatuh dalam parit

Buai laju laju
Sampai pokok sena
Woii, jangan buai laju-laju
Nanti kang tercampak kat pokok sena

Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Cucur atap tak sedap
Cucuk pisang, cucur udang, haaa tu sedap

Komen : Bagi saya tidak sepatutnya pantun Melayu yang sudah jelas mempunyai unsur keindahan tersendiri itu diubah dan akhirnya menjadi sebuah pantun yang lawak dan dipermain-mainkan oleh sesetengah orang. Jelas pantun tersebut sudah hilang unsur keindahannya. Sebagai orang Melayu, kita mestilah menghargai setiap perkataan yang wujud dalam bahasa kita. Janganlah kita menjadi orang yang tidak bertanggungjawab dan bertindak sesuka hati ketika mengubah pantun yang telah dipelihara keindahannya sejak zaman nenek moyang kita lagi. Kita mestilah memahami tujuan sebenar pantun tersebut disampaikan kepada generasi muda pada masa kini. Salah satu tujuannya adalah untuk menerapkan unsur nasihat, kritikan dan sebagainya. Jadi marilah kita sama-sama memelihara bahasa Melayu agar ia sentiasa dihormati oleh semua orang.

Situasi 17 : Sedapnya!

Situasi : Malaysia sememangnya terkenal dengan sebuah negara yang kaya dengan makanan. Boleh dikatakan di Malaysia tidak timbul masalah kekurangan makanan. Tetapi walaupun kita merupakan negara yang kaya dengan makanan, namun kita mestilah sentiasa mengamalkan sikap bersyukur dan tidak makan melampaui batas sehingga memudaratkan kesihatan sendiri. Terdapat contoh beberapa makanan yang menarik hati saya antaranya ialah:

Ayam goreng selatan

Roti Home
Ayam Taucho
Komen : Malaysia sememangnya kaya dengan makanan. Melalui makanan juga kebanyakkan rakyat Malaysia telah mengalami masalah kesihatn yang kronik seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya. Jadi kita mestilah cuba mengawal pemakanan kita agar badan kita sentiasa kekal sihat dan cerdas.

Situasi 16 : Keindahan yang kian hilang

Situasi :
Buoh pauh buoh pelam,
Memang sedak makan colek,
T.j ucapkan selamat malam, 
Bace doa dan tidor lah molek.

Terdapat segelintir masyarakat Melayu yang suka mengubah pantun atau sajak dengan menggunakan citarasa mereka sendiri. Keadaan ini telah merosakkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Komen : Sikap seperti ini tidak sepatutnya diamalkan. Sikap tersebut akan pasti memusnahkan keindahan bahasa Melayu. Ia tidak sepatutnya berlaku. Kita mestilah lebih bersikap bertanggungjawab dan matang supaya keindahan bahasa yang telah dipelihara oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi akan sentiasa terpelihara dengan sebaik mungkin.

Situasi 15 : Hilangnya etika

Situasi : Seringkali sewaktu ingin menaiki bas untuk ke kelas pasti akan timbul masalah berebut untuk menaiki bas. Sesetengah pelajar pasti tidak akan beratur untuk menaiki bas. Tidak kiralah dalam keadaan cuaca panas terik ataupun hujan mereka tetap mengamalkan sikap suka berebut tersebut. Ke mana hilangnya etika kita sebagai bakal seorang guru?.

Komen : Kita mestilah mengamalkan sikap yang berdisplin tidak kira walau di mana pun kita berada. Kita tidak boleh bersikap mementingkan diri. Sikap sabar sangat penting sewaktu menjalani kehidupan seharian.

Situasi 14 : Ayat tergantung.

Situasi : "Pemandu lori tersepit dalam nahas". Salah satu tajuk artikel yang terdapat dalam akhbar UTUSAN MALAYSIA.

Kesalahan sewaktu menghasilkan sebaris ayat dalam surat khabar merupakan satu perkara yang perlu ditangani. Walaupun ia merupakan satu perkara yang agak remeh namun apabila kesalahan tersebut kerap kali berlaku akhirnya ia boleh menimbulkan masalah berbahasa kepada generasi muda.

Komen : Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah lebih peka akan kesalahan sewaktu bertutur ataupun menulis. Kesalahan dalam penulisan artikel di dalam surat khabar sering kali berlaku. Masalah ini mestilah ditangani dengan segera agar para pelajar tidak terpengaruh dengan ayat-ayat yang salah tersebut.

Friday, March 11, 2011

Situasi 13 : Stapenah?

Situasi : "Belagok la blako mugo jadi stapenah doh dehh?"
Penggunaan dialek begitu ketara bagi sesetengah orang sehinggakan mereka telah menyebut dan mengeja sesuatu perkataan bahasa Inggeris ke dalam dialek mereka. Contohnya perkataan 'Staffnurse' telah dieja dan disebut sebagai 'Stapenah'.

Komen : Sebagai rakyat Malaysia kita mestilah menggunakan bahasa rasmi apabila bertutur dengan orang yang berlainan negeri agar setiap pertuturan kita akan difahami oleh semua orang dan tidak akan wujud salah faham. Kita juga mestilah mengeja dengan betul setiap perkataan yang hendak ditulis di blog, facebook dan sebagainya kerana ia menjadi tonton ramai orang.

Situasi 12 : Laju!! Baling Batu..

Situasi : Terdapat segelintir masyarakat di Malaysia yang suka merosakkan harta awam dengan menambah sesuatu yang tidak sepatutnya dan akhirnya boleh menimbulkan salah faham bagi sesiapa yang melalui kawasan tersebut.

Komen : Pihak berkuasa mestilah sentiasa memantau perbuatan merosakkan harta awam seperti gambar di atas. Kita sebagai masyarakat Malaysia juga perlulah sentiasa belajar untuk menghormati hak awam dan tidak bersikap mementingkan diri dalam segala perkara.

Situasi 11 : Manusia oh manusia

Situasi : Selama 3 tahun berada di UPSI, saya telah berjumpa dengan pelbagai jenis ragam para sahabat. Ada antara sahabat saya yang sentiasa bersikap lembah lembut dalam setiap perbuatan dan ada juga yang jenis suka bercakap dengan nada yang amat kasar dan mampu menguriskan perasaan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Melalui pemerhatian yang saya lakukan, dia sudah biasa dengan penggunaan bahasa yang kesat dan kasar dalam pertuturan seharian.
Komen :  Kita mestilah mengelakkan dan cuba mengawal  diri kita daripada bercakap dan bersikap kasar terhadap orang lain terutamanya terhadap keluarga, sahabat dan dengan orang sekeliling kita. Penggunaan perkataan kesat seperti 'bodoh' , 'bengong', 'woi' dan sebagainya tidak sepatutnya digunakan kerana ia mengguriskan hati orang lain. Sebagai sebagai orang Islam , orang Melayu dan juga bakal guru kita mestilah lebih bersikap lebih beradab dalam perhubungan dengan sesiapa pun.
Kelembutan beliau Sollallohu'alaihi wasallam dapat dilihat dari ucapan dan perbuatan beliau, serta mengambil jalan   yang paling mudah. Manusia pada prinsipnya cenderung menyukai sifat lembut, perkataan yang halus dan sikap yang ramah. "Sesungguhnya Alloh 'Azza wajalla menyukai sifat lemah lembut dalam seluruh perkara". HR Bukhari Muslim

Situasi 10 : S.0.R.Y

Situasi : Penggunaan perkataan 'sory' , 'thanks' dan sebagainya begitu ketara dalam pertuturan masyarakat Melayu yang gemar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rojak.

Komen : Kita mestilah menghargai bahasa Melayu. Walaupun hanya perkataan sory  dan perkataan tersebut mungkin dianggap satu perkataan yang biasa digunakan namun kita mestilah sentiasa peka dan bersikap sensitif terhadap penggunaan bahasa rojak yang akhirnya mempengaruhi generasi muda. Generasi muda akan mudah terikut-ikut dan akhirnya menyebabkan mereka lupa akan bahasa ibunda mereka sendiri. Jadi kita bertanggungjawab dalam mengekalkan bahasa Melayu agar tidak dipengaruhi oleh bahasa-bahasa lain.

Situasi 9 : Ayat salah dan tergantung.


Situasi :
‘Harap tenang ada ujian'.
-          Terdapat kesalahan penggunaan ayat dan ayat tersebut juga tidak lengkap iaitu tergantung.

Komen : Kesalahan penggunaan ayat seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Orang yang bertanggungjawab menghasilkan ayat ini mestilah lebih peka dan perlulah dengan segera membetulkan kesalahan ayat tersebut. Ayat yang betul adalah ‘Pelajar diminta bertenang kerana ada ujian sedang dijalankan’.

Situasi 8 : Aktiviti Merempit


Situasi : Ketika kami semua menunggu bas untuk pulang ke kolej terdapat sekumpulan “mat rempit” yang telah membuat pelbagai aksi menunggang motosikal dengan merbahaya di hadapan kami. Mat rempit tersebut melibatkan golongan pelajar sekolah. Jelas kelihatan mereka masih lagi berpakaian seragam sekolah sewaktu melakukan aktiviti tidak sihat tersebut.  

Komen : Aktiviti merempit ini merupakan satu aktiviti yang tidak sihat. Aktiviti seperti inilah yang telah merosakkan akhlak para remaja di Malaysia. Apabila mereka sudah pandai melakukan gejala merempit dan berkawan dengan budak-budak nakal, mereka mungkin juga berani melakukan aktiviti lain seperti merokok, menghisap dadah, mencuri dan sebagainya.  Jadi kita sebagai rakyat Malaysia juga sepatutnya menasihati para remaja tersebut agar tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat dan merbahaya. Semua pihak mestilah saling bekerjasama bagi membanteras gejala merempit tersebut kerana ia boleh membawa maut dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Thursday, March 10, 2011

Situasi 7 :Kesalahan Ejaan

Situasi : Terdapat satu kesalahan ejaan yang jelas terdapat pada sebuah bas kitaran. Ejaan bagi Proton dan City telah dieja Peroton dan Siti. Jadi ini jelas menunjukkan bahawa terdapat lagi segelintir masyarakat Melayu yang tidak peka dan masih bersikap sambil lewa terhadap kesalahan ejaan yang mudah.  

Komen : Kita sebagai masyarakat Melayu perlulah prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu kerana bahasa melambangkan bangsa.


Situasi 6 : Dialek


Situasi : Contoh  penggunaan dialek pada facebook.

Komen : Penggunaan dialek yang ketara membuatkan orang dari negeri lain sukar untuk memahami   dialek tersebut. Kadang-kadang penggunaan dialek yang terlalu jelas boleh menimbulkan salah faham bagi yang tidak memahami dialek tersebut.

Situasi 5 : Bahasa Melayu - Bahasa Inggeris





Situasi : Terdapat masyarakat Melayu yang telah menukarkan bahasa Melayu ke bahasa Inggeris yang jelas menampakkan kesalahannya.

Komen : Sebagai masyarakat Melayu kita mestilah mengekalkan jati diri kita. Kita mestilah sentiasa memelihara bahasa kita sebagai bahasa yang sangat dihormati. Kita mestilah mengakui bahawa  perkara yang melibatkan bahasa tidak boleh dipermain-mainkan.

Thursday, February 10, 2011

Situasi 4 :Iklan..

Pada hari ini saya ingin memaparkan kesalahan penggunaan bahasa pada iklan ini. Penggunaan perkataan "kelik" dan juga "try" dan juga "free". Kelik merupakan dialek kelantan yang bermaksud balik manakala perkataan try pula membawa maksud cuba. Penggunaan dialek dalam iklan seperti ini pada pendapat saya agak tidak sesuai. Manakala percampuran antara penggunaan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu adalah tidak digalakan. Penggunaan percampuran bahasa ini dipanggil bahasa rojak. Penggunaan bahasa rojak boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif kepada bahasa kebangsaan kita. Jadi sebolehnya penggunaan perkataan-perkataan seperti contoh di atas dalam iklan perlulah dielakkan bagi menimbulkan salah faham.

Thursday, January 20, 2011

situasi 3

Situasi : Berlaku karnival KHAR

Penjual : Sapela bengong sangat kebas kerusi aku nih!

Ulasan / Komen : Tidak sepatutnya bahasa seperti ini digunakan di kawasan orang ramai. Penjual itu mestilah menggunakan bahasa yang lebih sopan kerana pertuturannya telah meninggalkan kesan kurang baik dalam diri si pendengar.

situasi 2

Situasi : Berlaku di tempat parking kereta Arked

Ahmad : weh bodoh..dahla tumpang kereta aku, xreti-reti nak belanja aku ke?

Ulasan / Komen : kata-kata seperti ini tidak sepatutnya digunakan dalam pertuturan seharian. Ia merupakan kata-kata yang tidak menggambarkan adab dan perilaku yang baik si penutur bahasa Melayu.

Monday, January 17, 2011

17/01/2011

Masalah penggunaan bahasa : Masalah penggunaan bahasa kebiasaannya banyak dilakukan oleh pengguna fb,myspace,twitter, pengguna sms dan sebagainya. Mereka kebiasaannya telah meringkaskan perkataan-perkataan yang hendak ditaip. Contohnya perkataan kamu jadi mu, engkau jadi ko, balik jadi lik, hendak jadi nak dan pelbagai perkataan lain. Mereka jelas telah merosakkan penggunaan bahasa dalam kehidupan seharian.

contoh ayat salah : ko nak g ane?
contoh ayat betul : kau hendak ke mane?

Ulasan/komen : penggunaan bahasa seperti contoh di atas tidak sepatutnya dilakukan. ini kerana ia sedikit demi sedikit akan menghakis sifat cintakan bahasa Melayu kita. Generasi pelapis pula akan mula terikut-ikut dan akan terus menggunakan bahasa yang salah.

Assalamualaikum w.b.t

Tujuan utama blog ini diwujudkan bagi memenuhi tuntutan subjek sosiolinguistik. Selain itu ia diwujudkan supaya dapat melatih kami yang bakal guru suatu hari nanti agar mampu menghasilkn blog yang terbaik di sekolah nanti.

Sosiolinguistik -Bahasa, pemikiran dan juga kebudayaan
                     - Bahasa dan pemikiran dalam tindakan
                     - Dielektologi
                     - Etnografi komunikasi
                     - Bahasa merentas budaya
                     - Sosiobahasa
                     - Multilingualisme
                     -Psikologi sosial bahasa
Gambaran berlakunya sosiolinguistik dalam masyarakat