widgeo.net

Monday, March 14, 2011

Situasi 40 : Bahasa Pijin

Situasi : Bahasa pijin merupakan nama yang telah diberikan kepada bahasa yang bertindak sebagai bahasa perhubungan yang digunakan oleh penutur pelbagai bangsa yang bertemu dan berhubung antara satu sama lain. Bahasa yang digunakan tidak semestinya salah satu bahasa asal kedua-dua pihak penutur tersebut. Bahasa pijin terbit daripada satu bahasa yang secara drastik dipermudahkan struktur dan kosa katanya. Bahasa ini tidak digunakan oleh komuniti bahasa sebagai bahasa asal, sebaliknya dipelajari kemudian sebagai contoh bahas pijin ini digunakan oleh para pedagang untuk bertukar-tukar barang atau ketika proses jual beli berlaku. Di Malaysia, kita boleh perhatikan bahasa pijin digunakan oleh para peniaga yang terdiri daripada pelbagai kaum yang telah berhubung dengan pelanggan mereka ketika berlakunya proses jual beli. 

Contoh Bahasa Pijin : - Lu mau angkat apa maa??
                               - Kasi sama dia buah itu
                               - Mau apa?
~Pasar~
~Pasar~

Komen : Bahasa pijin digunakan oleh masyarakat Cina dan India khususnya bagi memberi pemahaman kepada masyarakat Melayu yang diajak bercakap dengannya. Maka timbullah percampuran bahasanya dengan bahasa Melayu lalu lahirlah bahasa pijin. Bahasa pijin juga boleh dikenali sebagai bahasa pasar. Bahasa pasar juga dikenali sebagai bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu. Pelat penyebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur.Biasanya bahasa pasar tidak gramatis dengan mengabaikan hukum DM dan penggunaan penjodoh bilangan. Contohnya pengunaan "Gua" menggantikan "saya" (ganti diri orang pertama) dan `lu' (ganti diri nama kedua). Bahasa pasar biasanya menggunakan banyak kata penguat, contohnya, banyak cantik. Selain itu penutur bahasa pasar juga kerap menggunakan perkataan "punya". Contoh ayat dia punya barang, apa punya budak.Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap.

Situasi 39 : Kecelaruan bahasa

Situasi : Notis yang ditampal jelas menunjukkan wujudnya kesalahan ayat iaitu "mohon siapa yang meninggal dunia". 

Ayat tersebut boleh menimbulkan salah faham kepada orang yang membacanya. Ayat tersebut boleh diandaikan melalui dialog di bawah :
Orang Mati : "Hello encik"
Pegawai     : "Hello... siapa ni?"
Orang Mati : "Saya Roslan Encik. Saya nampak notis yang encik tampal menyuruh saya  
                   menghubungi encik. Ada apa hal tu encik?"
Pegawai     :  O.. sebelum tu saya nak maklumat encik, seperti alamat dan no telefon?
Orang Mati  : Saya ada kat Perkuburan Islam Kampung Baru, lot no 13 sebelah kubur pak 
                   imam. Saya baru meninggal semalam. Pasal no telefon saya mintak maaf  
                  encik,sebab mereka tak bekalkan saya dengan telefon nokia saya.Saya lupa nombor telefon saya.
Pegawai     : ...Rasanya apa jawapan Pegawai tersebut.....

Komen : Agak mengecewakan apabila membaca notis ini kerana dapat kita gambarkan bahawa masih lagi wujud pihak yang tidak mampu membezakan ayat yang salah dengan ayat yang betul. Mereka lebih suka memandang bahasa itu sebagai satu kesalahan yang remeh. Oleh sebab itulah dengan sewenang-wenangnya mereka melakukan kesalahan yang agak menimbulkan rasa geli hati apabila membacanya.

Situasi 38 : Kurang adab

Situasi : Kisah kurang adab yang ingin saya ceritakan disini adalah mengenai seorang pelajar yang menggunakan bahasa yang agak kurang sopan ketika melontarkan soalan kepada Naib Canselor Universiti. Ketika pelajar tersebut meminta NC yang berpangkat datuk tersebut menjawab persoalan yang telah dilontarkan dia telah menggunakan kata panggilan "anda". Ini telah menggambarkan pelajar tersebut seorang yang kurang adab ketika berbicara. Panggilan yang sepatutnya digunakan adalah lebih baik dan mengambarkan tanda hormat pelajar tersebut kepada golongan atasan. 

Komen : Sebagai seorang yang berpendidikan tinggi kita perlulah sentiasa menggunakan bahasa yang lebih beradab dan sopan ketika mengutarakan pendapat, bertutur dengan orang yang lebih tua dan sebagainya. Janganlah kita sendiri yang menghakis nilai jati diri yang diterap ke dalam diri kita sejak kecil lagi. 

Situasi 37 : Vandalisme

Situasi: Pada masa kini gejala vandalisme kian meningkat dan berleluasa. Kebanyakkan gejala vandalisme ini dilakukan oleh golongan remaja. Vandalisme ialah perbuatan merosakkan atau memusnahkan kemudahan awam atau harta persendirian tanpa sebab yang sah di sisi undang-undang. Vandalisme mengakibatkan pihak awam dan swasta mengalami kerugian kerana terpaksa mengeluarkan kos untuk membaiki dan menggantikan barang-barang yang rosak.Gejala vandalisme boleh dilakukan secara sendirian atau berkumpulan.

Komen : Pada pendapat saya kebanyakkan golongan remaja yang terlibat dengan gejala vandalisme adalah disebabkan oleh ingin mendapatkan keseronokan, timbul rasa megah apabila dapat melakukan vandalisme, mereka rasa mendapat perlindungan daripada ahli kumpulannya, berpeluang untuk mencari wang dan sumber pendapatan dan mereka akan rasa diterima oleh ahli kumpulan. Bagi mengelakkan gejala vandalisme ini daripada berterusan maka semua pihak perlulah bekerjasama untuk menanganinya.

Situasi 36 : Pengaruh Filem


Situasi : Antara filem Malaysia yang telah banyak mempengaruhi minda dan perlakuan masyarakat Malaysia ialah filem yang bertajuk Hantu Kak Limah Balik Rumah. Bukan sahaja para muda-mudi yang telah dipengaruhi dengan kata-kata dan skrip dalam filem Hantu Kak Limah tersebut malah dari segenap lapisan masyarakat pun sudah dipengaruhi oleh filem tersebut. Antara dialog yang sering menjadi ikutan adalah "Kite bakor je rumah Kak Limah. Kite bakor!" dan juga ayat cer citer cer citer.

Komen :  Pada pendapat saya, sememangnya cerita ini sebuah cerita yang kelakar dan banyak mesej tersirat yang hendak disampaikan oleh pengarah antara mesej yang paling nyata ialah kurangnya sikap prihatin dalam masyarakat sekarang terhadap keadaan saudara mara atau jiran-jiran terdekat dengan kita. Namun, akibat daripada skrip yang digunakan para pelajar mudah terpengarauh dan sentiasa terikut-ikut dengan gaya pertuturan mereka dan akhirnya membawa kepada kesalahan dalam penulisan. Sebutaan untuk perkataan "bakar" telah disebut "bakor", perkataan "cer" pula diringkaskan dan ia sebenarnya berasal daripada perkataan "cuba" manakala perkataan cerita telah dieja "citer" perkara ini jelas akan mempengaruhi kanak-kanak terutamanya. Anak-anak hari ini adalah generasi pewaris masa depan negara kita. Justeru kelestarian pembangunan modal insan daripada sebuah filem itu perlu dititikberatkan agar kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga kaya dari segi akhlak dan budi bahasanya.

 

Sunday, March 13, 2011

Situasi 35 : Hikayat Merong Mahawangsa

Situasi : Rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat Melayu juga mampu menghasilkan sesuatu yang boleh dikagumi oleh orang luar. Keyakinan diri amat penting bagi menghasilkan sesuatu yang terbaik.

Sinopsis
Filem yang berkisarkan pengembaraan Merong Mahawangsa (berketurunan Alexander The Great) yang menjadi pengawal kepada Putera Empayar Rom yang ingin ke Asia Tenggara bagi mengahwini Puteri Dinasti Han. Perkahwinan diantara Putera Rom dan Puteri dari negara China ini adalah mahu menyatukan kedua-dua empayar dan perkahwinan mereka dilakukan di tanah yang tidak dijajah oleh mana–mana empayar (Natural Grounds) yang terletak diantara empayar barat dan timur.

Walaubagaimanapun, Armada Merong Mahawangsa telah diserang oleh Lanun dari negara Garuda (ia sebenarnya burung Garuda dalam Hikayat Merong Mahawangsa) dan Puteri tersebut telah diculik oleh lanun–lanun tersebut. Setelah berlaku serangan tersebut, bermulalah epik dimana Merong Mahawangsa cuba menyelamatkan puteri tersebut dan menyatukan empayar dari barat dan timur itu.

Komen : Hikayat Merong Mahawangsa merupakan sebuah cerita mitos dan lagenda yang melibatkan kerajaan lama Kedah. Hikayat Merong Mahawangsa dibawah arahan Yusry Abdul Halim yang telah membawa pelbagai kelainan dan pencetus penggunaan teknologi CGI di Malaysia dalam setiap filem arahannya. Filem ini turut menggunakan barisan kumpulan seni mempertahankan diri yang berpengalaman dibawah bimbingan Chan Man Cheng. Beliau pernah terlibat didalam kapasiti yang sama bagi filem – filem blockbuster antarabangsa antaranya Hellboy 2, Rush Hour dan Police Story.
Filem ini menelan belanja RM8juta yang sekaligus menobatkannya sebagai filem termahal dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini dan kedua termahal dalam sejarah industri perfileman tempatan selepas filem Puteri Gunung Ledang. Namun ini tidak bermakna ianya kurang dari segi kualiti berbanding dengan Puteri Gunung Ledang kerana KRU Studios percaya bahawa penjimatan kos dapat dibuat melalui penggunaan teknologi CGI. Dengan adanya CGI, penyediaan set tidak perlu menelan belanja yang sangat besar. Hanya prop dan set utama dibina seperti empat (4) buah kapal, perkampungan Melayu pada kurun ke-2, pelabuhan kapal, set gambaran Istana di Rom, China dan juga pelabuhan Goa di India. Walaubagaimanapun, kejayaan pemibikinan filem ini mungkin tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) melalui dana “e-content”.
.

Situasi 34 : Pelajar Alaf Baru

Situasi : Masalah salah laku pelajar kini kian meningkat. Boleh dikatakan setiap hari terpampang di dada-dada akhbar mengenai masalah yang melanda para pelajar di negara kita.Kes terbaru pelajar tikam pelajar, bom sekolah, simbah asid pada guru dan sebagainya. Ke mana hilangnya nilai moral dalam diri anak-anak sekarang?


Komen : Tanggungjawab guru sangat besar dan berat demi memperjuangkan nasib anak-anak bangsa. Pada zaman dahulu, guru diibatkan sebagai ayah dan ibu sewaktu di sekolah namun keadaannya sudah jauh berbeza pada masa kini. Jika guru hanya meninggikan sedikit suara pasti akan disaman, dipukul, diserang oleh pihak lain yang tidak boleh melihat anak disentuh sedikit demi kebaikan masa depannya. Pemikiran masyarakat zaman sekarang amat sukar untuk difahami. Andai anak-anak bermasalah, para ibu bapa pasti menyalahkan guru sedangkan tugas mendidik bukannya terletak 100 peratus di atas bahu guru. Pendidikan sebenarnya bermula dari rumah, andai ibu bapa tersalah mendidik anak maka nilai moral  yang baik pasti tidak akan dapat dipupuk dalam diri remaja tersebut dan akhirnya timbullah masalah-masalah seperti memukul guru, bergaduh dengan guru dan sebagainya.